Keretapi Sarong 2024: Busana tradisional Malaysia warnai ibu negara

Farhan Hakimi
September 14, 2024 12:30 MYT
Para peserta Keretapi Sarong 2024 (KS2024) menyertai acara tari menari yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia di Stesen Keretapi Ipoh. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keretapi Sarong 2024 (KS24) kembali dengan penuh warna-warni sekaligus menghidupkan semangat Hari Malaysia ke-61.
Menurut Pengarah Program Keretapi Sarong 2024 (KS2024), Shamsul Bahrin Zainuzzaman, dengan tema ‘Bangga Malaysia’, KS24 tahun ini bukan sekadar membentuk identiti negara tetapi menyerlahkan kreativiti dan potensi komersil Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Bangga Malaysia’ bukan sekadar tema tahun ini tetapi ia adalah kenyataan yang kukuh tentang kebanggaan negara kita terhadap jenama tempatan yang membentuk identiti.
"Menerusi Keretapi Sarong 2024, kita bukan sahaja meraikan penyatuan kita, tetapi juga mempamerkan kreativiti dan ketahanan jenama Malaysia, menjadikan mereka simbol perpaduan dan warisan budaya.
"Kami sangat gembira kerana mendapat sokongan daripada jenama tempatan yang berkongsi visi kami untuk mengangkat kecemerlangan Malaysia ke mata dunia," ujarnya.
Hari ini, lokasi rahsia bagi KS24, sebuah program yang memasuki tahun ke lapannya, ialah di Lanai @ MATIC yang berada di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Pengumuman lokasi rahsia yang dibuat saat-saat akhir itu bertujuan mengekalkan momentum keterujaan sambutan tahunan Hari Malaysia tahun ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati peserta KS24 di ibu negara dilihat memperagakan pakaian tradisional daripada pelbagai kaum yang ada di Malaysia.
Selain rakyat Malaysia, beberapa peserta dari rantau Asia Tenggara termasuk pencipta kandungan turut mengikuti program yang cukup meriah ini antaranya Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.
Acara tahun ini juga dijangka mencapai tahap baharu berkat kerjasama yang tidak ternilai daripada Rakan Strategik Utama, Penaja serta bersama sokongan padu daripada lebih 40 Rakan Strategik.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui MATIC turut mewujudkan kerjasama yang berterusan sepanjang penganjuran Keretapi Sarong.
Menambah kemeriahan KS2024 adalah penampilan istimewa Noraniza Idris, seorang artis tradisional terkenal yang minat mendalamnya terhadap seni muzik etnik kreatif.
KS2024 turut dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai komuniti dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia, menambahkan lagi keceriaan dan mempamerkan kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian.
Flash mob KS24 akan turut diadakan yang akan disertai komuniti lokal dan setempat di pelbagai bandar dan stesen-stesen Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang (TRANSIT) termasuk Subang Jaya, Putrajaya Sentral, Gombak, KL Sentral, Kajang, Ampang, TTDI, UPM dan Sri Damansara Sentral.
Selain acara utama di Lembah Klang, flash mob serentak juga akan rancak berlangsung di lokasi terpilih seperti Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam, Alor Setar.
Terbaharu, Kuantan dan Kuala Terengganu juga turut serta selain di kota Paris, Berlin dan juga Amsterdam yang menonjolkan jangkauan global dan daya tarikan unik sambutan khas Malaysia ini.
Ia sekaligus memartabatkan budaya Malaysia di persada antarabangsa.
#Keretapi Sarong 2024 #busana tradisional #Lanai #Matic
;