Keretapi ETS 'dirampas' pengganas, dua maut
Haron Shafie
Jun 15, 2015 23:56 MYT
Jun 15, 2015 23:56 MYT
Penduduk sekitar Alor Pongsu di sini gempar apabila sebuah keretapi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dirampas oleh sekumpulan lima orang pengganas di Alor Pongsu pagi tadi yang menuntut supaya 103 pengganas IS yang ditahan dibebaskan.
Bagaimanapun, 40 anggota Pasukan Gempur dari Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM berjaya menembak mati dua orang pengganas sebelum drama tembak menembak bermula.
Tiga orang pengganas telah berjaya ditawan oleh pihak polis.
Penumpang keretapi juga berjaya dibebaskan oleh pihak polis.
Drama rampasan keretapi ETS ini merupakan satu latihan pelan tindakan kecemasan anjuran KTM Berhad yang disertai PDRM Bukit Aman dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut Naib Presiden Kanan Teknikal KTM Berhad, Hilmi Mohamed, tujuan latihan pelan tindakan kecemasan ini diadakan adalah untuk kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) terhadap Keretapi ETS yang baharu untuk beroperasi secara komersil.
“Senario yang kita putuskan hari ini adalah beberapa pengganas telah mengambil alih sebuah Tren ETS dan menahan kesemua penumpang tren tersebut.
“Selepas merima maklumat dari kontroler tren tersebut, pihak PDRM bertindak menahan tren itu dan seterusnya menawan pengganas-pengganas tersebut mengikut SOP pengganas bagi menyelamatkan penumpang,” Hilmi berkata demikian kepada pemberita di Program Pelan Tindakan Kecemasan anjuran KTM Berhad di KTM Alor Pongsu, Perak hari ini.
Katanya, latihan ini juga dijalankan bagi memastikan keselamatan para penumpang KTM Berhad sentiasa terjaga dan membantu kakitangan KTM Berhad sendiri bersiapsiaga memperbaiki kelemahan yang ada untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan selamat.
Sementara itu menurut Timbalan Pengarah Kementeraian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas), Datuk Azizan Abd Aziz, latihan ini adalah sebagai persiapan pihak PDRM dalam menghadapi ancaman pengganas sepertimana yang ditimbulkan di dada-dada akhbar muthakir ini.
“Seramai lima orang pelakon telah mengambil bahagian dalam latihan ini yang turut disertai oleh lebih kurag 40 anggota pasukan pengempur,” kata beliau.