Kereta tiba-tiba terbakar, pemandu sempat selamatkan diri
Aida Aziz
Julai 15, 2022 22:06 MYT
Julai 15, 2022 22:06 MYT
PANTAI REMIS: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya terbakar di persimpangan lampu isyarat, berdekatan sebuah stesen minyak di Jalan Segari Batu 12, di sini hari ini.
Bagaimanapun pemandu berkenaan sempat menyelamatkan diri dan keluar dari kenderaannya sebelum kebakaran merebak hampir 80 peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 7.48 malam.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis bergegas ke lokasi dan mendapati sebuah kereta musnah terbakar 80 peratus.
"Mangsa memandu seorang diri dan dia sempat keluar dari kereta sebelum kenderaan itu terbakar 80 peratus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, anggota bomba kemudiannya menggunakan dua aliran salur bantu mula dari pam jentera bagi mengawal dan memadam kebakaran tersebut.
Operasi yang diketuai PBK II Hisham Hamzan itu tamat pada jam 8.40 malam.
#kereta terbakar
#Toyota Camry
#lampu isyarat
#stesen minyak
#Jalan Segari
#JBPM Perak
#BBP Pantai Remis