Kereta tiba-tiba terbakar, pemandu nyaris rentung
Aida Aziz
Januari 20, 2023 12:44 MYT
Januari 20, 2023 12:44 MYT
IPOH: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri setelah kereta jenis Peugeot yang dipandunya musnah terbakar di Jalan Kuala Pari, di sini, hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kenderaan tersebut musnah terbakar sebanyak 90 peratus di tengah-tengah jalan raya.
"Bomba terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bergegas ke lokasi.
"Setibanya jentera bersama anggota di lokasi mendapati sebuah kereta musnah terbakar 90 peratus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, pasukan bomba kemudiannya diarahkan oleh komander operasi untuk membuat pemadaman menggunakan dua aliran hose reel.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Shahrizala Abu Hanafiah itu tamat pada jam 10.38 pagi.
Punca kebakaran sedang disiasat.