Kereta tiba-tiba terbakar, Mokyoh kongsi detik cemas
Sinar Harian
Jun 12, 2018 14:46 MYT
Jun 12, 2018 14:46 MYT
Kesibukan peniaga bahagian barangan basah di Pasar Besar Kuala Berang, di sini, berurus niaga bertukar cemas apabila sebuah kereta tiba-tiba terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, Proton Saga dipandu Mohd Nazir Abu Bakar, 48, baru sahaja parkir sebelum dia keluar mengangkut barang jualan ke tempat ibu mentuanya, Meriah Harun, 64, berniaga.
Menurut Meriah atau lebih dikenali sebagai Mokyoh, dia yang tengah sibuk mengemas barang untuk memulakan perniagaan benar-benar terkejut dan tidak menyangka kenderaan terbakar itu adalah keretanya sendiri.
Meriah (dua, kiri) menceritakan detik cemas selepas keretanya terbakar pagi tadi.
“Kereta ini nama anak saya, tapi digunakan bersama ahli keluarga lain. Selama ini, kereta inilah yang hantar dan ambil saya dari rumah di Kampung Batu 23 ke pasar ini.
“Lebih kurang dua tiga bulan lagi dah nak habis bayar, kereta ini juga tak pernah alami kerosakan besar. Tak sangka, hari ini kenderaan banyak berjasa ini musnah sepenuhnya setelah terbakar.
“Menantu saya datang ke pasar hantar barang jualan. Barang pun tak sempat angkut semua, kereta tiba-tiba terbakar, padahal lepas parkir enjin sudah dimatikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tambah Mokyoh, walaupun sedih dengan ujian menjelang Aidilfitri itu, dia reda dan tetap bersyukur kerana kebakaran itu terjadi ketika di parkir dan tiada ahli keluarganya di dalam kereta.