Kereta terjunam ke tasik: Keluarga terkejut hilang ibu dan adik sekelip mata
Adie Sufian Zulkefli
Mac 21, 2021 07:11 MYT
Mac 21, 2021 07:11 MYT
KULIM: Keluarga mangsa kereta terjunam ke dalam Tasik Lake Resort, Serdang pada Ahad sama sekali tidak menyangka video kejadian yang tular itu membabitkan ibu dan adik mereka.
Menurut anak sulung, Haida Hafiza Hashim, 46, dia mengetahui tentang insiden itu selepas dihubungi adik ketujuh yang memaklumkan ibu dan adik kesembilannya lemas di dalam tasik.
Haida Hafiza memaklumkan ketika kejadian dia sedang menunggu suami menjemputnya dari tempat kerja.
Malah dia langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum itu mangsa Nor Aiza Hashim sedang berbalas pesanan ringkas dengan adiknya yang keempat.
Sementara itu, anak saudara Aini Syuhada Mujahidun, 15, berkata dia memang rapat dengan arwah Nor Aiza yang dipanggil Mak Wa kerana sifatnya yang penyayang dan suka mengambil berat.
Sementara itu, Mohd Azimat Hashim memaklumkan, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan ibu, Hasmah Mat Isa, 68 dan adik Nor Aiza, 28.
Anak kedua daripada 11 adik beradik ini berkata kebiasaannya ayah mereka Hashim Ariffin, 74, akan ikut bersama.
Mereka ditemui ketika menunggu ketibaan mayat di Unit Forensik Hospital Kulim, malam tadi.
Jenazah Hasmah dan Nor Aiza akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Leret, Serdang, selepas selesai proses bedah siasat dijangka selepas asar.
#Kulim
#kereta terjunam
#Tasik Lake Resort
#Haida Hafiza Hashim
#Nor Aiza Hashim
#Hasmah Mat Isa
#Hashim Ariffin
#Unit Forensik Hospital Kulim