Kereta terjunam gaung di Genting Highlands, 4 cedera
Bernama
September 9, 2016 16:38 MYT
September 9, 2016 16:38 MYT
Empat lelaki yang dalam perjalanan ke Genting Highlands melalui detik mencemaskan apabila kereta yang dinaiki mereka terjunam ke gaung sedalam 60 meter, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong DSP S. Somu berkata dalam kejadian pukul 5 pagi itu, pemandu kereta S. Vijayavarman, 27, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana cedera di kepala dan patah kaki kanan.
Beliau berkata penumpang hadapan yang hanya dikenali sebagai Dash pula dihantar ke Hospital Selayang bersama seorang lagi mangsa S. Surenraj, 21, yang patah tangan kiri manakala P. Kirenraj, 27, dirawat di Hospital Bentong kerana luka di badan.
"Mangsa dipercayai menuju ke Genting Highlands dari arah Ambercourt. Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla itu hilang kawalan semasa melalui jalan berselekoh menuruni bukit dan cuaca hujan serta berkabus.
"Kereta mangsa kemudiannya terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung. Mangsa dibawa naik dengan bantuan polis, bomba dan polis bantuan Genting Highlands," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Somu berkata kemalangan mengakibatkan kereta itu rosak teruk dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat.