Kereta terjunam dalam sungai
Adie Sufian Zulkefli
Jun 25, 2022 21:47 MYT
Jun 25, 2022 21:47 MYT
KUALA KETIL: Sebuah kereta terjunam ke dalam sungai di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Samsuddin Mamat, berkata kejadian itu disedari orang awam selepas menemui serpihan bampar kereta Proton Persona di tebing sungai terbabit kira-kira jam 6 petang.
“Setakat ini belum dapat dipastikan terdapat mangsa dalam kenderaan itu atau sebaliknya.
“Polis telah menghubungi bomba bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masih dilakukan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.
Shamsuddin turut meminta kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling untuk membuat laporan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dan BBP Baling dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kedah tiba namun tidak dapat melakukan selaman berikutan arus sungai deras dan kedalamannya melebihi tiga meter.
"Setakat ini anggota melakukan pencarian di bahagian permukaan air namun belum dapat mengesan kedudukan kenderaan terbabit,” katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi turut dibantu beberapa bot penduduk kampung.