Kereta terhumban ke dalam Sungai Sarawak
Bernama
Februari 24, 2021 13:00 MYT
Februari 24, 2021 13:00 MYT
KUCHING: Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam sebuah kereta yang terhumban ke dalam Sungai Sarawak berdekatan projek Jambatan Satok di sini, pagi ini diteruskan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira 10.30 pagi .
Bagaimanapun pemanggil tidak dapat memastikan jumlah mangsa di dalam kenderaan terbabit.
Sejurus menerima panggilan itu, 14 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pandungan telah dikerah ke tempat kejadian.
Satu video memaparkan kereta berwarna perak yang separuh terapung dengan dua orang individu di dalam sebuah perahu cuba mendekati kereta itu untuk menyelamatkan mangsa turut tersebar di media sosial.
Seorang daripada individu dalam perahu dikenali Bonnnifes Jongsin, 24, berkata dia melihat kenderaan berkenaan di dalam sungai ketika sedang bertugas membersihkan sampah sarap di sungai itu.
Usaha menyelamatkan mangsa yang berada di dalam kenderaan itu namun gagal kerana keempat-empat pintu dikunci dari bahagian dalam.
"Saya hanya melihat mangsa memberikan isyarat melarang saya untuk membantunya, saya juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana tiada apa-apa peralatan untuk memecahkan cermin tingkap kereta itu.
"Kami juga berusaha untuk menarik kenderaan itu namun tali yang digunakan untuk menarik itu putus dan hanya mampu melihat kenderaan itu tenggelam," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Supt Alexson Naga Chabu memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan maklumat berhubung kejadian berkenaan.