Kereta terbelah dua langgar tiang elektrik, tiga sahabat maut
Bernama
September 3, 2014 17:26 MYT
September 3, 2014 17:26 MYT
Tiga pelajar Universiti Multimedia Malaysia(MMU) maut, seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terputus dua selepas terbabas dan merempuh sebatang tiang lampu di Persiaran Selatan di sini, hari ini.
Tiga yang maut dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu merupakan penumpang kereta Proton Wira itu yang dikenal pasti sebagai M. Harisankar dari Klang, V. Thivagor dari Puchong dan V. Thamilarasan dari Kuala Selangor.
Ketiga-tiga pelajar itu yang kesemuanya berumur 18 tahun mati di tempat kejadian.
Pemandu kereta itu, N.Yogen, 21, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Putrajaya.
Mereka berempat dikatakan dalam perjalanan ke MMU, Cyberjaya selepas bersarapan di Hotel Pullman Putrajaya di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi berkata kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan terputus dua akibat impak rempuhan yang kuat.
Beliau berkata sebuah jentera Bomba dan Penyelamat dengan tujuh anggota dari Cyberjaya membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
Kesemua mayat dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, kata Abdul Razak.
Rakan dan anggota keluarga keempat-empat pelajar itu turut berada di Hospital Putrajaya.
Seorang wanita dalam lingkungan 20-an dipercayai anggota keluarga seorang daripada pelajar yang maut dilihat rebah.
Menurut seorang rakan pelajar berkenaan yang enggan dikenali, dia dimaklumkan satu daripada tayar kereta tersebut meletup sebelum terbabas.
"Kesemua mereka adalah pelajar cemerlang, saya amat terkejut dengan kejadian ini," kata lelaki itu ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Putrajaya.
Sementara itu, jurucakap MMU berkata Harisankar merupakan pelajar Diploma Teknologi Maklumat, Thivagor (Diploma Perakaunan) dan Thamilarasan (Asasi Teknologi Maklumat) dan Yogen (Diploma Teknologi Maklumat).
Kesemua mereka baru sahaja mendaftar di universiti itu pada Jun lepas.