Kereta terbang bukan Wawasan 2020 - Dr Mahathir

Firdaus Azil
Januari 6, 2020 10:07 MYT
DR MAHATHIR: Saya harap tidak ada pihak lagi yang bercakap Wawasan 2020 ini bermakna ada kereta bermotor boleh terbang. Itu bukan wawasan kita. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, walaupun kereta terbang itu dianggap kemajuan teknologi, ia bukan konsep Wawasan 2020 yang beliau ilhamkan 29 tahun dahulu.
Wawasan itu sebaliknya, menekankan kepada sembilan cabaran kemasyarakatan yang perlu diatasi dalam usaha menjadikan Malaysia diiktiraf sebagai negara maju.
“Wawasan 2020 ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
"Untuk menjadi negara maju ini, kita hendaklah mengatasi sembilan cabaran Wawasan 2020, iaitu negara yang bersatu; berjiwa bebas; demokratik; bermoral dan beretika; liberal; progresif dan saintifik; penyayang; adil dalam bidang ekonomi; serta makmur.
“Inilah tujuan kita, yang mana kalau kita capai tujuan sembilan ini, maka kita akan dianggap negara maju,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama radio Kool FM yang ke udara pagi ini.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara juga perlu mencapai kemajuan dalam bidang-bidang lain seperti pelajaran, teknologi, sosial, ekuiti dan sebagainya.
Tambahnya, pada hakikatnya, negara ketika ini telah mencapai banyak kemajuan dan perubahan berbanding pada ketika wawasan itu dilancarkan pada 1991.
“Walaupun kita tidak capai sepenuhnya, tapi sedikit sebanyak kita capai Wawasan 2020. Kalau dibandingkan Malaysia hari ini, 2020, dan Malaysia di waktu kita melancarkan wawasan ini, 1991, kita akan lihat perbezaannya.
“Rakyat lebih makmur, negara lebih makmur dan pembangunan sudah terlihat jelas di seluruh negara. Infrastruktur lebih baik. Tetapi kita belum sampai tahap negara maju kerana ada bidang tertentu kita ketinggalan. Inilah menyebabkan kita akui tidak mencapai Wawasan 2020,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, beliau mengharapkan agar masyarakat dapat memahami dengan lebih mendalam konsep sebenar wawasan itu.
“Saya harap tidak ada pihak lagi yang bercakap Wawasan 2020 ini bermakna ada kereta bermotor boleh terbang. Itu bukan wawasan kita.
"Itu adalah kemajuan yang dicapai di negara lain, tidak berbentuk kereta tetapi berbentuk satu kenderaan yang boleh terbang dan boleh membawa orang di dalamnya dan merupakan satu jenis dron.
"Itulah yang telah dicapai di negara lain. Tetapi di Malaysia, kita boleh lihat kenderaan seperti ini di kemudian hari,” katanya lagi.
#kereta #kereta terbang #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Tun Dr Mahathir Mohamad #Tun M #Wawasan 2020
;