Kereta terbakar, seorang wanita cedera, rakan dan anak selamat
Sinar Harian
Februari 12, 2024 19:09 MYT
Februari 12, 2024 19:09 MYT
BATU PAHAT: Seorang wanita cedera manakala rakan serta seorang kanak-kanak terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbakar di Jalan Bakau Chondong, di sini pada Isnin.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nur Eddy Paiman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 11.31 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan tiga Pasukan Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dengan 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram telah dihantar ke lokasi.
“Sebaik tiba ke lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Hyundai Matrix telah terbakar 80 peratus.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO), kemudiannya bertindak memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula dari pam jentera dan satu aliran salur bantu mula dari unit pam jentera dan satu aliran salur bantu mula dari unit RIM sehingga selesai.
“Terdapat tiga mangsa dan telah keluar sebelum PKO tiba. Seorang mangsa perempuan berusia 35 tahun mengalami kecederaan melecur pada kaki kiri sebanyak dua peratus manakala dua lagi mangsa iaitu perempuan berusia 46 tahun dan anak perempuannya berusia dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi ditamatkan sekitar jam 11.44 pagi,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu sekitar jam 11 pagi.
Katanya, sebaik tiba ke lokasi, didapati sebuah kereta yang dinaiki oleh dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan terbakar.
“Tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku dan difahamkan kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.
“Mangsa dan kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk rawatan.
“Mangsa dan rakan perempuannya telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut,” katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian