Kereta terbakar selepas terbabas langgar tebing jalan, pemandu maut

Abd Razak Mohd Ali
Mac 6, 2020 09:53 MYT
Anggota bomba menggunakan satu aliran hosreel air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Foto JBPM Perak
Seorang pemandu maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar tebing jalan sebelum terbakar di Jalan Besar Jelapang, Taman Meru 1, di sini, pagi ini.
Mangsa, dikenali sebagai Chai Jun Da, 26 tahun, yang mengalami kecederaan parah telah dikeluarkan dari kenderaannya oleh orang awam.
Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 4.36 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Iswara Aeroback yang terbabas dan terbakar 90 peratus,” kata pihak itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan satu aliran hosreel air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Mohd Radzi tamat jam 5.40 pagi.
#bomba #Ipoh #kemalangan #langgar tebing #maut #meninggal dunia #pemandu #terbabas
;