Kereta terbakar, lebuh raya PLUS sesak 17 km dekat Ipoh

Amirrul Rabbani
Disember 26, 2022 19:39 MYT
Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan BBP Meru Raya dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja pemadaman api. - Gambar/ JBPM
IPOH: Sebuah kereta yang terbakar di Kilometer (KM) 259 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh telah menyebabkan kesesakan sejauh 17 km pada Isnin.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.09 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan BBP Meru Raya dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja pemadaman api.
“Kebakaran melibatkan kenderaan jenis BMW yang telah musnah terbakar 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
“Pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan dua aliran air dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syed Azrul Hizam Syed Abdul Aziz itu tamat pada jam 5.04 minit.
Sementara itu PLUSTrafik menerusi hantaran di laman Twitter pada Isnin memaklumkan kejadian itu mengakibatkan lorong kiri terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakkan lalu lintas sejauh 17 km.
#kereta terbakar #PLUS #Ipoh #Kuala Kangsar
;