Kereta terbakar langgar tiang projek SUKE, pemandu maut

Sinar Harian
Mac 17, 2021 09:32 MYT
Keadaan kereta mangsa selepas terlibat kemalangan. -Foto JBPM KL
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di Bandar Tun Razak menghala Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Rabu.
Mangsa berusia 37 tahun yang memandu kereta Proton Persona dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar tiang projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sebelum terbakar.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 5. 02 pagi dan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikejarkan ke lokasi itu.
Komander Operasi, PBK II Mohd Fakhrulsyakia Mamat berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan Proton Persona milik mangsa.
"Kebakaran berlaku di bahagian enjin dengan kemusnahan dianggarkan 20 peratus.
"Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.28 pagi.
#kemalangan #langgar tiang projek pembinaan #Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang #suke #Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur #panggilan kecemasan #Balai Bomba dan Penyelamat #BBP #Mohd Fakhrulsyakia Mamat
;