Kereta terbabas, terbalik selepas 'aksi' pandu melulu, himpit
Sinar Harian
April 8, 2024 16:15 MYT
April 8, 2024 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pemandu dan penumpang sebuah kereta cedera setelah kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik selepas dihimpit sebuah Honda City dekat Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Ahad.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komissioner Mohd Nasri Omar berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi.
"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke Kedah manakala Honda City dari Temerloh menuju ke Shah Alam.
"Setibanya di lokasi kejadian, Honda City terbabit dipercayai dipandu dengan cuai selain bertindak menghimpit dan menekan brek sehingga menyebabkan pemandu Proton Waja itu gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, akibat kejadian, dua individu iaitu pemandu dan penumpang Proton Waja berkenaan mengalami kecederaan.
"Kedua-dua mangsa terlibat berumur 50-an dan 30-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.
"Mereka bagaimanapun disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Isnin, tular video di media sosial kemalangan melibatkan sebuah kenderaan setelah dipercayai dihimpit sebuah kenderaan lain. - Sinar Harian