Kereta terbabas, pemandu maut, isteri dan anak cedera

Aida Aziz
Januari 25, 2022 23:31 MYT
Polis menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 6.45 petang. - Gambar/ JBPM
KAMPAR: Seorang pemandu maut, manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di KM38.3 Jalan Ipoh-Teluk Intan, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, polis menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 6.45 petang.
"Mangsa seorang lelaki yang memandu kenderaan maut di tempat kejadian, manakala seorang wanita iaitu isteri mengalami cedera parah dan dua orang anak tidak pasti kecederaannya. Mereka dihantar ke Hospital Kampar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 petang.
Katanya, setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga.
"Kereta itu terbabas ke dalam longkang dan menyebabkan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
"Tiada mangsa tersepit, dua orang kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Kampar oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
"Pemandu kereta disahkan maut oleh pegawai perubatan manakala isterinya mengalami kecederaan parah," katanya.
Tambahnya, anggota penyelamat membuat rawatan awal kepada mangsa dan kemudiannya menyerahkan kepada pihak ambulans dan polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Zahuri Zainal Abidin itu tamat pada jam 7.27 malam.
#kemalangan maut #Kampar #suami maut #isteri parah
;