Kereta terbabas di Genting Highlands: Polis sahkan pemandu ada 11 rekod saman
Norfarhiza Mohd Atar
April 17, 2023 18:59 MYT
April 17, 2023 18:59 MYT
BENTONG: Pemandu kereta yang terlibat dalam nahas di Kilometer 14.6, Jalan Genting Highlands dekat sini semalam disahkan mempunyai 11 rekod saman.
Video yang tular di media sosial Facebook milik 'Joekim Mako' itu memaparkan rakaman papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang dipandu secara melulu sebelum terbabas.
Kejadian yang berlaku pada hari Ahad (semalam), pada pukul 7.25 pagi turut disahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong serta turut dimuat naik di media sosial "JB Tracer: Johor Bahru Traffic, Crime & Community".
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan polis berdasarkan rakaman papan pemuka yang ditularkan mendapati pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan menuju ke Genting Highlands dekat sini.
"Setiba di sebuah selekoh, pemandu tersebut telah memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun pemandu, lelaki warga tempatan berusia 27 tahun, itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, IPD Bentong telah mengesan dan memanggil pemandu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
"Semakan ke atas kenderaan tersebut juga mempunyai 11 rekod saman undang-undang jalan raya.
"Kita juga akan membuat siasatan terlebih dahulu apabila pengadu hadir ke IPD Bentong.
"Pemilik papan pemuka sebuah kenderaan juga kita akan panggil serta dapat butiran untuk siasatan kes ini," katanya.