Kereta sarat bawa 11 penumpang kemalangan, empat maut

Bernama
Jun 16, 2014 13:11 MYT
POLIS: Kejadian dipercayai berlaku pada 4.29 pagi ketika kereta yang dinaiki 11 orang itu sedang dalam perjalanan dari Rantau Panjang. Foto Zainalabidin Othman
Empat lelaki maut manakala tujuh lagi parah selepas kereta Honda Accord yang mereka naiki terbabas di Kilometer 134.1 Lebuhraya Pantai Timur dekat Temerloh, awal pagi ini.
Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Che Mohd Azuwan Che Hashim, 30, yang juga pemandu kereta berkenaan, berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Identiti tiga lagi mangsa yang terkorban dan tujuh yang parah dipercayai warga Myanmar itu masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang pengenalan diri ditemui, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.29 pagi ketika kereta yang dinaiki 11 orang itu sedang dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.
"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan lalu terbalik menyebabkan empat mangsa tercampak keluar dan mati di tempat kejadian," katanya.
Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk dibedah siasat manakala mangsa yang parah menerima rawatan di hospital sama.
#kemalangan #lebuhraya #LPT #Rantau Panjang
;