Kereta remuk teruk dalam kemalangan, lima sekeluarga selamat

Adie Sufian Zulkefli
Disember 23, 2019 12:35 MYT
Keadaan kereta Toyota Altis yang terlibat dalam kemalangan di Jitra pagi ini. - Foto JBPM
Seorang bapa bersama lima anak terselamat apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Sekolah Kebangsaan Pulau Nyior, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira, Mazlan Abdullah, 39 tahun, bersama lima anaknya berusia 4 hingga 11 tahun hanya cedera ringan selepas kereta mereka terbabit dengan kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Altis.
Toyota Altis itu dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Ah Hui, 46 tahun, bersama isterinya, Lim Nee Nee, 43 tahun, dan dua anak mereka, Pang Xin Yi, 9 tahun, dan Pang Xin Hui, 13 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati kereta Proton Wira remuk teruk selepas dipercayai berpusing akibat dirempuh Toyota Altis.
Menurutnya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat walaupun ada di antara mereka yang mengalami sedikit trauma susulan kejadian itu.
Mereka dihantar ke Hospital Jitra dengan menaiki ambulans dan kenderaan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan.
Operasi disertai tujuh anggota bersama dua jentera termasuk EMRS.
#bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Jitra #kemalangan #selamat
;