Kereta rempuh jentera penurap jalan, dua lelaki rentung

Abd Razak Mohd Ali
September 5, 2019 06:14 MYT
Dua lelaki rentung selepas kereta yang dinaiki terbakar dalam kemalangan di Jalan Beruas-Sitiawan. -Foto JBPM
Dua lelaki rentung selepas kereta yang dinaiki terbakar dalam kemalangan di Jalan Beruas-Sitiawan, di sini, pada Khamis malam.
Seorang lagi lelaki dilaporkan parah selepas kereta jenis Audi merempuh sebuah jentera penurap jalan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.03 malam.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kereta Audi itu melanggar sebuah jentera penurap jalan (paver) yang diletakkan di bahu jalan.
“Kemalangan itu mengakibatkan kereta berkenaan terbakar dan terdapat dua mangsa dipercayai rentung manakala seorang lagi parah dan sudah dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan awal pagi Jumaat.
Beliau berkata maklumat awal diterima mendapati ketiga-tiga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu adalah lelaki dewasa.
Operasi pemadaman dilakukan anggota dari BBP Sitiawan dengan bantuan BBP Pantai Remis.
#dua lelaki rentung #Jalan Beruas #JBPM #kemalangan #kereta terbakar #langgar penggelek jalan #paver
;