Kereta rempuh belakang lori tembikai, 5 sekeluarga maut

Astro Awani
Disember 20, 2019 00:08 MYT
Lima sekeluarga maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Bukit Beruntung awal pagi tadi. -Foto pembaca Astro AWANI
Lima sekeluarga maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Bukit Beruntung awal pagi tadi.
Insiden berlaku apabila kenderaan yang dinaiki keluarga itu merempuh sebuah lori 3 tan muatan buah tembikai di lorong perlahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab Rahman, lori muatan buah berkenaan bergerak perlahan berikutan terdapat satu kemalangan kecil di kilometer 431.1 melibatkan lori kontena terbalik dan menghalang dua lorong pada jam 3.50 pagi.
Bagaimanapun, mangsa yang menaiki sebuah Perodua Myvi disyaki tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan.
Akibat daripada impak yang kuat, Myvi itu terperosok di belakang lori dan kesemua mangsa maut setelah tersepit.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa.
Mangsa maut dikenali sebagai Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52; Jamilah Jamil, 47; Bashirah Jamil, 49; serta dua remaja Nur Intan Mohamed Rodzi, 18; Nur Shifa Abdul Rashid, 17.
Pemandu lori Norimisham Mat Radzi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Azman Ab Rahman #Jamilah Jamil #kemalangan #kontena terbalik #lori 3 tan #Mohamad Rodzi Abdul Kadir #muatan buah tembikai #Perodua Myvi