Kereta milik anggota Parlimen Kuala Krai Mohd Hatta Ramli terbakar
Bernama
Februari 14, 2015 17:35 MYT
Februari 14, 2015 17:35 MYT
Kereta milik anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pukul 5.12 pagi tadi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian.
"Kejadian berlaku di Persiaran 1, Desa Aras Ampang, Selangor dan melibatkan kereta jenis Toyota Fortuner milik anggota Parlimen parti PAS itu. Kebakaran tersebut berjaya dikawal dan kemusnahan akibat kebakaran kenderaan itu dijangka lima peratus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Khairuldin Saad berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai melibatkan dua individu yang datang ke lokasi kejadian dengan sebuah kereta, sebelum melarikan diri.
"Polis turut menemui sebatang kayu diselaputi kain dan kesan minyak petrol di tempat kejadian, dipercayai kelengkapan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa kejadian, mangsa bersama lapan lagi anggota keluarganya berada di rumah, kata Khairuldin sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.