Kereta langgar tembok rumah, tiga maut, dua parah
Siti Nur Aqilla Omar
September 27, 2021 12:46 MYT
September 27, 2021 12:46 MYT
JOHOR BAHRU: Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki melanggar tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, di sini, awal pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Ramli A. Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 2.03 pagi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai R Vimalan, 21 tahun, M Sharven, 21 tahun, dan seorang lagi pemuda berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya.
"Ketiga-tiga mangsa tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.
"Sementara itu, S Meshen Kumar, 21 tahun, dan P Agilan, 22 tahun, cedera parah.
"Kereta Proton Waja yang dinaiki mereka dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah, dipercayai terbabas dan hilang kawalan lalu merempuh tembok rumah berkenaan yang terletak di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ramli, pihaknya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan selanjutnya manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis," katanya.