Kereta kabel, ikon pelancongan terbaharu Melaka

Bernama
Januari 17, 2018 04:02 MYT
Datuk Seri Idris Haron berkata projek yang akan dibangunkan Perbadanan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama sebuah syarikat swasta itu akan bermula awal April depan.
Projek pembangunan kereta kabel bernilai lebih RM45 juta bakal menjadi ikon pelancongan terbaharu Melaka dalam usaha merancakkan industri pelancongan negeri pada masa akan datang.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata projek yang akan dibangunkan Perbadanan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama sebuah syarikat swasta itu akan bermula awal April depan, dan dijangka siap awal 2019.
Beliau berkata kereta kabel berkenaan akan melibatkan laluan pergi balik sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari Pulau Melaka ke Pulau Besar.
"Projek ini adalah pelengkap pada pembangunan 'seven mini wonders' yang meliputi roller coaster, free fall dan kapal lanun di kiri dan kanan Sungai Melaka
Projek ini akan mempelbagaikan lagi produk pelancongan di negeri ini serta memberi pilihan yang lebih banyak kepada pelancong yang berkunjung ke Melaka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, pada Rabu.
Beliau berkata jumlah kereta kabel berkenaan belum lagi ditentukan tetapi setiap satu kenderaaan berkenaan mampu membawa 20 penumpang pada satu masa.
Dalam perkembangan lain, katanya pihak pengurusan bas dalam negeri iaitu Panorama Melaka disaran menjadikan Pusat Transformasi Bandar dan Pusat Transformasi Luar Bandar sebagai salah satu lokasi hentian utama bagi laluan mereka.
Idris berkata langkah itu memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan berkenaan secara lebih mudah dan teratur.
-- BERNAMA
#idris haron #kerajaan #kereta kabel #Melaka #pelancong #pelancongan
;