Kereta jatuh jambatan mungkin terbenam dalam lumpur - Pasukan SAR

Astro Awani
Januari 21, 2019 14:11 MYT
Seramai 108 anggota serta 16 bot pelbagai agensi sedang melakukan operasi SAR sekitar lokasi kejadian. -Astro AWANI
Lokasi pencarian yang kemungkinan berlumpur menyebabkan pasukan penyelam masih gagal menentukan lokasi sebenar kenderaan SUV yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, awal pagi Ahad.
Koordinator SAR, Laksamana Maritim Rozali Mohd Said berkata pada masa yang sama keadaan arus yang deras turut menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemalangan.
Selain itu, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan beg udara keselamatan di dalam SUV berkenaan yang terbuka ketika kemalangan menyebabkan kenderaan itu dihanyutkan dari lokasi ia dilaporkan terjatuh.
"Pasukan bomba berusaha mencari di tempat kejadian semalam, tetapi amat mengecewakan. Keadaan air terlalu gelap dan dipercayai tempat itu berlumpur.
"Memandangkan kereta jatuh dengan impak kuat, terlalu laju pada ketinggian tinggi, kemungkinan sama ada ia terbenam dalam lumpur atau kalau beg udara beroperasi, ia akan terapung. Kemungkinan dibawa ke tempat lain," kata Rozali.
Tambahnya, pada hari kedua pencarian, pihaknya telah menambah kekuatan anggota dan aset.
Ketika ini, seramai 108 anggota serta 16 bot pelbagai agensi sedang melakukan operasi SAR.
Bagaimanapun, menurut Rozali, sekiranya kenderaan itu masih gagal dikesan sehingga ke petang ini, pihaknya akan memperluaskan kawasan pencarian serta menggunakan aset lebih besar termasuk kapal dari Perak.
Kata beliau, pihaknya juga akan menggunakan aset lebih canggih seperti kenderaan tanpa pemandu di dalam air (UAV) bagi mengesan kedudukan SUV berkenaan.
#aset canggih #beg udara #berlumpur #Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #kereta terbabas #Rozali Mohd Said #SAR #SUV
;