Kereta idaman tak dapat, duit lebih RM25,000 lesap

Sinar Harian
Februari 19, 2022 07:45 MYT
Seorang peniaga kedai sukan kerugian lebih RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan jualan kereta terpakai tidak wujud di Facebook. -Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang peniaga kedai sukan kerugian lebih RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan jualan kereta terpakai tidak wujud di Facebook, Januari lalu.
Lelaki berusia 62 tahun itu tertarik untuk membeli kereta mewah terpakai jenis Lexus yang ditawarkan pada harga 42,000 dengan pinjaman penuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berurusan dengan penjual bernama Lucas Khoo (suspek) melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli kereta tersebut.
Menurutnya, suspek yang mendakwa berada di Singapura telah menghantar dokumen perjanjian melalui WhatsApp dan meminta mangsa mengemukakan maklumat peribadi bersama bayaran RM2,800 untuk proses membawa kereta itu dari Jepun.
"Mangsa membuat bayaran seperti diminta melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat.
"Selepas bayaran itu dibuat, mangsa dimaklumkan kereta itu akan dibawa masuk melalui Langkawi dan diminta menunggu perkembangan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Wazir berkata, pada 21 Januari lalu, mangsa dihubungi suspek dan dimaklumkan bahawa keretanya akan tiba lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.
"Mangsa diminta membuat bayaran RM7,407 untuk insurans dan cukai jalan.
"Teruja untuk memiliki kereta idaman, mangsa membuat bayaran itu melalui dua transaksi pindahan wang ke akaun yang diberikan sebelum menerima nota perlindungan kereta itu dari suspek," katanya.
Mohd Wazir berkata, pada 8 Februari lalu, mangsa mendapat perkembangan bahawa keretanya telah tiba ke negara ini namun dia perlu membuat bayaran RM15,000 untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Mangsa segera membuat bayaran setelah diberitahu kereta tersebut sudah berada di Pejabat JPJ Wangsa Maju dan sedia untuk diambil.
"Mangsa ke Pejabat JPJ Wangsa Maju pada 11 Februari lalu namun kereta tersebut tiada di lokasi itu.
"Suspek kemudian menghubungi mangsa memaklumkan kereta itu telah ditahan pihak kastam dan dia perlu menjelaskan bayaran proses lebih RM55,000 untuk menuntut kenderaan tersebut," katanya.
Menurutnya, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Jumaat.
Mohd Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
*Berita asal di Sinar Harian
#peniaga kedai sukan #penipuan jualan kereta terpakai tidak wujud #Lucas Khoo #Mohd Wazir Mohd Yusof
;