Kereta ditembusi besi penghadang jalan, ibu cedera parah dalam kemalangan

Nazialita Geynna Maharan
Januari 25, 2017 23:05 MYT
Seorang wanita cedera parah manakala suami dan dua anaknya cedera ringan dalam satu kemalangan di Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kampung Tiong, di sini, pada petang Rabu. -Astro AWANI/Nazialita Geynna Maharan
Seorang wanita cedera parah manakala suami dan dua anaknya cedera ringan dalam satu kemalangan di Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kampung Tiong, di sini, pada petang Rabu.
Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, kereta jenis Toyota Vios dipandu Liang Bee Yee, 36, yang menghala ke Kuala Kangsar hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.
Kemalangan itu menyebabkan besi penghadang jalan menembusi cermin hadapan hingga ke bahagian belakang kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila pemandunya dikatakan mengantuk dan gagal mengawal kenderaan.
"Susulan insiden, pemandu iaitu ibu kepada dua lagi mangsa Ha Meng Kai, 4, dan Ha Zi Qian, 9, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala kedua kanak-kanak itu hanya mengalami kecederaan ringan.
"Suami mangsa turut mengalami kecederaan ringan dan ketiga-tiga mereka mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar, manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Ipoh," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
#Jalan Ipoh-Gerik #Liang Bee Yee #Termizi Abd Haq #Toyota Vios
;