Kereta dilanggar lori: Dua lelaki maut

Bernama
September 20, 2018 04:27 MYT
Kejadian dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan batu dan pasir itu dikatakan mengalami kerosakan brek ketika sedang menuruni gunung. --fotoBERNAMA
Dua lelaki dengan seorang daripadanya warga Bangladesh maut apabila kereta yang dinaiki dilanggar oleh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Simpang Gunung Pulai, Batu 4, Pekan Nenas dekat sini, petang Khamis.
Kedua-dua mangsa merupakan pemandu Soh Lip Soon, 60, dan penumpangnya Late Abdul Rafiq Imam Sharif, 50.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas Mahadir Mamat berkata kejadian dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan batu dan pasir itu dikatakan mengalami kerosakan brek ketika sedang menuruni gunung tersebut.
Kerosakan itu kemudian menyebabkan pemandu lori tersebut tidak dapat mengawal kenderaan lalu melanggar kereta jenis Toyota GL Wagon dipandu Soh.
Lori itu juga turut merempuh sebuah bengkel membaiki kereta yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.
"Akibat kejadian, kedua mangsa mati di tempat kejadian akibat tersepit dan mayatnya telah dibawa ke hospital berdekatan manakala pemandu lori itu pula tidak cedera namun difahamkan telah dibawa ke balai polis berdekatan untuk diambil keterangan," katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
Beliau berkata operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 45 minit dengan dilakukan oleh lapan anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas dan Pontian Baru yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada pukul 4.17 petang.
--BERNAMA
#bomba #brek rosak #cedera #Hospital #Johor Bahru #kemalangan #kereta #mangsa #mati #maut #operasi #Pekan Nenas #polis
;