Kereta bertembung treler, enam sekeluarga maut
Astro Awani
Januari 23, 2016 18:23 MYT
Januari 23, 2016 18:23 MYT
Hajat sebuah keluarga di Gua Musang untuk menziarahi saudara yang sakit tidak kesampaian apabila enam daripadanya maut dalam nahas jalan raya pada pagi Sabtu.
Seorang lagi mangsa cedera parah dalam nahas di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Enam mangsa maut dikenali sebagai, Nur Amira Abzudin, 23, Noor Azila Yasin, 28, Dan Madiah Drani, 49, serta pasangan kembar, Siti Nur Raudah Abdul Rahman, 4, Siti Nur Batrisya Abdul Rahman, 4 dan Muhammad Hadif Haykal Muhd. Hafiz, setahun 6 bulan.
Manakala, mangsa cedera parah dikenali sebagai Muhd. Hafiz Adzudin, 30.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu Nur Amira dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan lain.
Ia mengakibatkan kereta berkenaan hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lori treler serta sebuah lori lima tan dari arah bertentangan.
Menurutnya, semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan tercampak keluar dari kenderaan.
Katanya, pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.