Kereta bertembung lori tangki minyak, seorang maut

Azee Shafy
Jun 28, 2023 08:30 MYT
Dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Jalan Rompin Endau-Kampung Batu 8 Pontian dekat Rompin awal pagi ini, seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang bayi. - Foto ihsan JBPM Pahang
ROMPIN: Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah lori tangki minyak di Jalan Rompin Endau-Kampung Batu 8 Pontian, dekat sini, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 pagi.
Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Komander Operasi melaporkan, benar berlaku kemalangan.
"Mangsa yang berada di bahagian pemandu kereta tersepit akibat rempuhan itu, sementara seorang wanita dan seorang bayi lelaki, mengalami kecederaan.
"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit namun disahkan telah meninggal dunia.
"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan termasuk pemandu lori tangki minyak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
#kemalangan jalan raya #lori tangki minyak #kereta bertembung lori #Jalan Rompin Endau
;