Kereta bekas isteri ditembak, peniaga direman

Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2021 18:56 MYT
Lelaki berusia 36 tahun direman bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.- Gambar hiasan
KOTA BAHRU: Seorang peniaga direman selama empat hari bagi membantu siasatan disyaki menembak kereta yang dipandu bekas isterinya semalam di lorong Jalan Bayam, Tapang, Kota Bharu.
Lelaki berusia 36 tahun direman bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, lelaki itu ditahan pada jam 7 pagi semalam di rumahnya di Kota Bharu.
Media semalam melaporkan, seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya ditembak pada bahagian cermin belakang dipercayai oleh bekas suaminya malam kelmarin di lorong Jalan Bayam, Tapang.
Dalam kejadian jam 7.30 malam, wanita berusia 30 tahun itu sedang memandu keretanya bersama tiga anak berusia antara tiga hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah.
Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa yang memandu kereta secara tiba-tiba terdengar bunyi seakan tembakan dan melihat cermin bahagian belakang sebelah kanan telah pecah.
#Kota Bharu #tembakan #tembak kereta #bekas isteri #ditahan reman
;