Kereta api penumpang langgar lori sawit
Astro Awani
November 3, 2023 15:15 MYT
November 3, 2023 15:15 MYT
JERANTUT: Sebuah lori muatan sawit dilanggar kereta api yang membawa 10 penumpang di Kilometer 167.80, Landasan Kereta Api Jerantut-Kuala Krau berdekatan Kampung Pisang, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Azman Khamis berkata, siasatan awal mendapati, kejadian jam 5.30 itu membabitkan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) DMU 04 yang dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Gemas.
“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah lori jenis Toyota melintas landasan keretapi menyebabkan berlaku perlanggaran dua kenderaan ini.
“Akibat kemalangan ini, pemandu dan pembantu pemandu kereta api telah mengalami kecederaan ringan manakala kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Azman berkata, pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak dapat dikesan kerana dipercayai telah melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tren tersebut pecah cermin depan dan calar bahagian tepi kanan, manakala lori tersebut remuk keseluruhan bahagian" katanya.