Kereta api furnikular Bukit Bendera ditutup untuk penyelenggaraan

Bernama
Februari 16, 2022 16:48 MYT
Penyelenggaraan dan pemeriksaan untuk memastikan sistem funikular sentiasa berada dalam keadaan terbaik. - Sinar Harian
GEORGE TOWN: Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera di sini, akan ditutup untuk penyelenggaraan berjadual dwitahunan kedua bagi tahun ini bermula 17 hingga 28 Mei dan akan beroperasi semula pada 29 Mei.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi semasa COVID-19 dan berharap jurutera pihak pengeluar (Garaventa AG dari Switzerland) dapat menyelia penyelenggaraan dwitahunan kedua pada Mei 2022.
"PBBPP juga menjalankan pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan sistem funikular setiap hari, mingguan dan bulanan serta pemeriksaan rutin harian selepas tamat waktu operasi funikular Bukit Bendera.
"Penyelenggaraan dan pemeriksaan ini untuk memastikan sistem funikular sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan yang ketat," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu mulai 2022, PBBPP melaksanakan penutupan sehari pada setiap bulanuntuk menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan funikular dengan tumpuan diberikan kepada pemeriksaan keadaan semasa funikular serta menjalankan penyelenggaraan yang tidak dapat dijalankan semasa waktu operasi normal kereta api itu.
Menurut kenyataan itu, penutupan sehari pada setiap bulan telah dilaksanakan pada 25 Januari lepas dan seterusnya pada 22 Februari dan 23 Mac nanti.
Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh Persatuan Penduduk Bukit Bendera dengan menghubungi talian 019-572 0543 atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan.
"PBBPP berhak untuk melakukan sebarang perubahan terhadap waktu penyelenggaraan funikular pada bila-bila masa sekiranya perlu. Pengunjung dinasihatkan untuk mengikuti akaun rasmi media sosial PBBPP iaitu Facebook, Instagram dan Twitter untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan tarikh penutupan termasuk penutupan sehari pada setiap bulan," menurut kenyataan itu.
PBBPP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera, untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi PBBPP menerusi talian 04-8288880 atau e-mel ke inquiries@penanghill.gov.my
-- BERNAMA
#furnikular #Bukit Bendera #penyelenggaraan #aspek keselamatan
;