'Kerenah birokrasi sangat teruk'
Sinar Harian
Disember 23, 2021 10:10 MYT
Disember 23, 2021 10:10 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan digesa mempermudah prosedur dan birokrasi permohonan bantuan kepada mangsa banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWPCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, keperluan dokumen seperti laporan polis dan gambar banjir sangat menyusahkan mangsa yang ketika ini bertungkus lumus membersihkan rumah mereka.
Katanya, kebanyakan mangsa juga didapati masih belum mengetahui kaedah sebenar mendapatkan bantuan daripada kerajaan dan pihak berkuasa.
“Memang menyusahkan pengguna atau orang ramai yang baru sahaja dilanda banjir untuk mengambil gambar sebagai bukti, kemudian perlu mencetak dokumen dan pergi kali kedua ke balai polis.
“Apa yang mereka perlu lakukan selepas buat laporan polis? Mereka memang tidak tahu apa-apa. Jadi selalunya mereka akan diarahkan pergi ke banyak tempat. Kerenah birokrasi sangat teruk.
“Setakat ini memang yang datang kepada saya tidak tahu (prosedur sebenar),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan dan pihak berkuasa sepatutnya turun padang dan membantu mangsa banjir melengkapkan dokumen dan perkara yang diperlukan.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bantuan kepada mangsa banjir perlu disegerakan bagi membolehkan mereka memulihkan serta membersihkan rumah mereka.
“Jika pemohon bantuan itu memang daripada kawasan banjir dan dia ada bukti dari situ, jadi saya ingat bantuan itu boleh disalurkan segera.
“Sama juga kalau mereka sudah tunjukkan keadaan rumah, itu sudah mencukupi untuk dijadikan sebagai bukti untuk laporan pihak berkuasa,” ujarnya.
Artikel asal di SInar Harian