Kerbau bertuah naik Honda Odyssey

Astro Awani
Disember 15, 2017 18:36 MYT
Empat lelaki bertindak mencuri kerbau lalu dimasukkan ke dalam Honda Odyssey.
Berpura-pura memancing udang galah, sebelum menyumpit kerbau milik penduduk kampung yang ditambat di tepi Sungai Kulim dekat Labuh Banting, Tasek Gelugor, pada Jumaat.
Malah, kerbau yang berjaya disumpit itu kemudian dibawa lari menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey.
Itu merupakan taktik empat lelaki yang cuba mencuri kerbau milik penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 11 pagi itu.
Namun, perbuatan kesemua suspek itu diketahui seorang remaja sebelum kepada orang kampung.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Labuh Banting, Saidin Yaacob ketika dihubungi Astro AWANI berkata, suspek tidak sempat melarikan kerbau kerana perbuatan mereka disedari penduduk kampung.
"Menyedari mereka disergah penduduk kampung, kesemua suspek panik lalu melarikan diri menggunakan dua buah motosikal milik penduduk kampung.
"Menurut saksi, suspek juga membawa senjata parang dan kerbau dewasa yang dicuri itu mempunyai nilai antara RM7,000 hingga RM8,000 seekor," katanya.
Saidin berkata, pemilik kerbau yang berusia 50-an sebelum ini kehilangan tiga ekor lembu ketika bulan Ramadan lalu.
Katanya, pemilik kerbau juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kubang Semang petang ini.
#Cuba #JKKK #kerbau #keselamatan #Labuh Banting #lelaki #mancing udang galah #polis #remaja #sumpit kerbau #suspek #tasek gelugor
;