Kerani wanita mangsa terbaru Macau Scam, rugi lebih setengah juta ringgit
Muhafandi Muhamad
Mei 27, 2019 17:22 MYT
Mei 27, 2019 17:22 MYT
Seorang kerani wanita kerugian RM534,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam sebelum tampil membuat laporan polis Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa yang berusia 40-an ditipu sindiket itu bermula April lalu.
“Mangsa mendapat panggilan kononnya dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang mengatakan dia telah berhutang sebanyak RM24,000 dengan LHDN negeri cawangan Sabah,” ujarnya.
Kemudian, panggilan mangsa telah disambung ke seorang yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, dan mangsa didakwa bersubahat dengan seorang lelaki yang menyalahgunakan kad pengenalan dan akaun bank mangsa untuk menipu.
“Seminggu kemudian, dia telah dihubungi pula oleh pegawai berpangkat ASP, di IPK Sabah untuk memudahkan siasatan dijalankan.
“Mangsa telah diminta membuat pemindahan wang ke beberapa akaun, daripada pertengahan bulan April, sehinggalah terakhir pada 21 Mei 2019. Mangsa telah membuat sebanyak 12 transaksi pemindahan wang berjumlah RM534,000,” ujar Ahmad Azizul.
Tambahnya, mangsa diminta untuk melunaskan bayaran itu sebagai ‘pengesahan’ dirinya tidak terbabit dengan kes itu dan jika tidak mahu hartanya akan dibekukan.
Pegawai penyiasat tersebut turut menjanjikan wang tersebut akan dikembalikan ke akaun mangsa apabila selesai siasatan.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek memberi pelbagai alasan untuk tidak mengembalikan wang mangsa apabila tiba masa yang dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh Januari hingga Mei ini, polis Kelantan menerima sebanyak 37 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM2.19 juta.
Manakala untuk Januari hingga Disember tahun lalu, pihaknya menerima laporan 121 kes dengan kerugian RM10.2 juta.