Kerani syarikat penguji emas didakwa pecah amanah RM445,815
Sinar Harian
Disember 28, 2023 12:23 MYT
Disember 28, 2023 12:23 MYT
GEORGE TOWN: Seorang kerani di sebuah syarikat penguji emas menghadapi 133 pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah keseluruhan RM445,815 di Mahkamah Sesyen dekat sini pada Khamis.
Tertuduh, Teh Ya Ling yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Tertuduh yang berasal dari Pulau Pinang itu didakwa memindahkan wang secara berperingkat antara jumlah RM500 hingga RM30,000.
Mengikut pertuduhan, Ya Ling didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di syarikat swasta berkenaan di Jalan Sungai dekat sini antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.
Tertuduh ketika itu bertugas sebagai kerani akaun syarikat terbabit telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang milik syarikat ke dalam akaun bank atas namanya untuk kegunaan sendiri.
Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam Teoh Kung Yu.
Ketika prosiding dijalankan, Jun Keong memohon mahkamah mengenakan denda sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan, dua penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sepanjang kes dibicarakan.
"Jumlah ini membawa maksud, tertuduh ditawarkan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan. Ini mengambil kira tempoh pemindahan dan jumlah wang iaitu sebanyak RM445,815," katanya.
Sementara itu, Kung Yu memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan anak guamnya kini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM2,800 sebulan.
"Anak guam saya perlu menyara bapanya yang berusia 81 tahun selepas kematian ibunya. Dia juga tiada rekod jenayah sebelum ini dan ini kali pertama dia dituduh di mahkamah.
"Selain itu, anak guam saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sejak dia ditahan pada 27 September lalu malah dia diberi jaminan polis selepas siasatan selesai dijalankan.
"Selain itu, wang jaminan adalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah, bukannya satu hukuman. Oleh demikian, saya mohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang rendah kepada anak guam saya," katanya.
Sharmila kemudiannya menetapkan wang jaminan RM500 bagi setiap pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan RM66,500 terhadap tertuduh.
"Wang jaminan RM500 setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Selain itu, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
"Kes ditangguh sehingga 9 Februari depan untuk sebutan semula kes," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian