Kerani pentadbiran didenda RM30,000 kerana aniaya dua ekor anjing

Dewi Nur Harasha Alias
September 7, 2020 13:08 MYT
Salah seekor anjing peliharaan Oh Ju Lian yang telah dianiaya dengan tidak diberi makanan dan penjagaan secukupnya sehingga mengalami kesakitan dan penderitaan. - Gambar Astro AWANI
Seorang kerani pentadbiran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana mengabaikan dua ekor anjingnya pada Mac 2019.
Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Oh Ju Lian, 40, selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda manakala hak penjagaan anjing yang masih hidup pula dilucutkan.
Mengikut pertuduhan, Ju Lian telah secara tidak munasabah menyebabkan dua ekor anjing kepunyaannya berada dalam kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Paper Estate, Tanjong Bunga jam 3 petang pada 4 Mac 2019.
Bagi kesalahan itu dia didakwa dibawah seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum dibawah akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Penguatkuasa Veterinar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin.
Terdahulu, semasa prosiding tertuduh yang tidak diwakili peguam, sebak dan menitiskan air mata ketika memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.
Tertuduh memberi alasan dia tidak mampu membayar denda yang tinggi kerana perlu menyara keluarga manakala suaminya pula tidak sihat dan baru saja mendapat kerja selain insaf dengan perbuatan dilakukannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahnnya.
Bagaimanapun, Roziman kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes, ibu kepada dua orang anak itu telah membiarkan dua ekor anjing berada dalam keadaan terikat dengan rantai besi di pagar batu sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati.
Kedua-dua anjing itu telah dianiaya dengan tidak diberi makanan dan penjagaan secukupnya sehingga mengalami kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya.
#aniaya anjing #didenda #kerani pentadbiran #kesakitan #Oh Ju Lian #penderitaan #penjagaan
;