Kerani pemasaran rugi lebih RM700,000 diperdaya pelaburan mata wang asing palsu
Bernama
Jun 23, 2021 15:15 MYT
Jun 23, 2021 15:15 MYT
SEREMBAN: Seorang kerani pemasaran di sebuah syarikat swasta berputih mata selepas kerugian RM713,450 akibat diperdaya pelaburan mata wang asing palsu melalui satu aplikasi dalam kejadian di Kampung Paya, Port Dickson, di sini, 19 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 39 tahun itu dipercayai mengetahui mengenai pelaburan saham mata wang asing tersebut setelah diperkenalkan oleh kenalan lamanya sejak 2017.
Bagaimanapun, dia berkata mangsa baharu sahaja menyertai pelaburan berkenaan pada tahun lepas.
"Mangsa telah memuat naik satu aplikasi untuk tujuan pelaburan ini dan semua urusan adalah melalui aplikasi dan laman sesawang tersebut.
"Mangsa dipercayai telah mula membuat pelaburan ini dalam nilai dolar AS sejak Januari tahun lepas dan telah pun mendapat keuntungan beberapa kali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, bermula April lepas, mangsa menyedari bahawa tiada sebarang keuntungan diperolehi dan kemudiannya membuat laporan polis kerana rasa diperdaya, katanya.
Katanya, dalam tempoh April hingga Jun tahun ini, wanita berkenaan telah membuat 45 kali transaksi ke dalam 21 akaun individu dan satu akaun sebuah syarikat.
"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dalam laman sosial atau aplikasi selain menyemak sama ada pelaburan itu diiktiraf atau tidak menerusi Bank Negara Malaysia.
-- BERNAMA