Kerani didakwa cederakan amah guna seterika, air panas
Sinar Harian
Mei 5, 2023 13:55 MYT
Mei 5, 2023 13:55 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang kerani wanita sebuah syarikat agensi pekerjaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia menggunakan seterika dan air panas bermula Mac tahun lalu.
Loke Chee Hui, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita, Indrawati, 39, di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Brickfields pada 3 Mac 2022 hingga 23 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana- mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan itu termasuk kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Varghese Onny memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia dua hingga 15 tahun.
Atiqah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, dia dan suaminya, berdepan satu lagi pertuduhan, di Mahkamah Sesyen di sini iaitu mengeksploitasi pengabdian terhadap mangsa sama.
Chee Hui dan suaminya, penyelia syarikat swasta, Lum Kah Wai, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu terhadap Indrawati yang bukan kanak-kanak dengan menggunakan kekerasan, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipermerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan itu termasuk dalam kes tidak dijamin.
"Saya membantah sekiranya tertuduh diberi ikat jamin namun menyerahkan budi bicara mahkamah sekiranya mahu menawarkan jaminan," katanya.
Sementara itu, Varghese memohon dua anak guamnya itu diberi jaminan pada kadar yang munasabah.
"Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan dan mereka tidak akan menggugat mana-mana saksi," katanya.
Azura Alwi kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis terdekat setiap dua bulan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 6 Jun untuk sebutan semula kes.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, seorang pembantu rumah warga asing cedera disyaki didera majikannya di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, di sini baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, wanita itu mengalami kecederaan serius iaitu melecur hampir seluruh badan dan lebam di kedua-dua belah mata serta muka. - Sinar Harian