Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN jamin akses vaksin negara - Muhyiddin
Astro Awani
Mac 1, 2021 11:13 MYT
Mac 1, 2021 11:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-37, menjamin Malaysia sentiasa mempunyai akses kepada vaksin, termasuk vaksin generasi baharu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, ia termasuk usaha memperluaskan pengiktirafan global sijil kesihatan digital dan bantuan serta memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
"Bagi memudahkan usaha pemulihan ekonomi Malaysia, kerajaan akan meneruskan usaha secara menyeluruh bagi mewujudkan gelembung perjalanan dengan negara-negara yang berpotensi.
"Inisiatif gelembung perjalanan ini penting untuk mengaktifkan kembali kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala dan seterusnya mempercepat pertumbunan ekonomi.
"Dalam konteks ini, Malaysia telah merumuskan perjanjian Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) bersama Singapura pada tahun 2020," katanya semasa Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, Malaysia akan terus berusaha untuk mewujudkan RGL dengan negara-negara berkepentingan seperti China (termasuk Hong Kong, Macao dan Taiwan), Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Vietnam.
"Di peringkat serantau pula, Deklarasi ASEAN mengenai pembentukan ASEAN Travel Corridor Arrangement (TCA) telah diterima pakai oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-37 pada bulan November 2020.
"Inisiatif ini akan membantu memudahkan perjalanan semula intra-ASEAN, dan seterusnya mampu mengaktifkan semula industri perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan intra-ASEAN yang telah terjejas disebabkan pandemik COVID-19.
"Selain itu, kerajaan akan memastikan peranan Malaysia di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kekal utuh, khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin," ujarnya.
Katanya, kerajaan akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan membabitkan pihak berkaitan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.
#Muhyiddin Yassin
#COVID-19
#ASEAN
#gelembung perjalanan
#vaksin
#Laluan Hijau Timbal Balik
#Singapura
#oic
#PBB