Kerangka kerja pengurusan aset bersepadu diumumkan tidak lama lagi - Abang Johari

Bernama
Disember 8, 2024 22:00 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali TDC Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). - Foto BERNAMA
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan memperkenalkan kerangka kerja pengurusan aset bersepadu yang dibangunkan dengan kerjasama rakan kongsi swasta tidak lama lagi.
Beliau berkata ekonomi Sarawak perlu distruktur semula dengan memberi tumpuan kepada pengurusan aset secara berhemat dan profesional.
"Bagaimanapun, kerangka kerja ini akan mengekalkan pendekatan tersendiri, memastikan sumber kita diurus secara bebas, telus, dan mampan.
"Pendekatan kita akan direka khusus mengikut keperluan kita,” katanya ketika berucap di Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ke-26, di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan berkata kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah entiti bersepadu yang akan berfungsi sebagai cabang pengurusan aset dan pelaburan.
Beliau menjelaskan bahawa entiti yang dicadangkan itu akan berfungsi seperti entiti serupa di negara maju yang lain, seperti Temasek Holdings dan Government of Singapore Investment Corporation (GIC) di Singapura, Mubadala Investment Company di Emiriah Arab Bersatu (UAE) China Investment Corporation di China dan Japan Investment Corporation di Jepun.
-- BERNAMA
#kerangka kerja #pengurusan aset bersepadu #Sarawak #Abang Johari Tun Openg
;