Kerangka kerja kawal selia urus AI dengan bijak, elak manipulasi - Fahmi

Madiha Abdullah
Jun 20, 2024 17:06 MYT
Kata Fahmi, MCMC akan turut memberikan fokus kepada dasar dan inisiatif penting untuk sektor AI yang melibatkan industri komunikasi dan multimedia.
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengiktiraf keperluan untuk mewujudkan sebuah kerangka kerja kawal selia bagi menangani cabaran-cabaran etika dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Justeru, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kod Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) yang diselia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) penting dalam memberikan kerangka yang menekankan tanggungjawab semua pihak dalam penggunaan AI.
"Bagi rakyat, adalah penting untuk mereka memahami cara menggunakan AI secara beretika. Kami tidak mahu orang ramai, contohnya memplagiat, terutamanya dalam kerja rumah atau kerja kursus mereka, tetapi pada masa yang sama tidak tertipu dengan penyalahgunaan AI untuk menjana, contohnya, kandungan palsu, seolah-olah ia dikatakan sedemikian oleh orang tertentu, sedangkan sebenarnya hanya dimanipulasi menggunakan AI.
"Oleh itu kesedaran tentang perkara ini juga penting. Kami ingin memastikan bahawa sebagai rakyat menerima penggunaan AI. Mereka juga perlu sedar bagaimana AI boleh disalahgunakan untuk jenayah dan membahayakan orang lain," katanya.
Sehubungan dengan itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan turut memberikan fokus kepada dasar dan inisiatif penting untuk sektor AI yang melibatkan industri komunikasi dan multimedia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran program pembangunan kapasiti dalam Kecerdasan Buatan (AI) yang dikenali sebagai MCMC - Microsoft AI TEACH.
Kerjasama strategik itu akan menyaksikan MCMC dan Microsoft Malaysia meneroka manfaat sosioekonomi AI, termasuk usaha untuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital.
Selain itu, kerjasama ini juga akan menyaksikan penerimagunaan perisian Microsoft oleh pihak MCMC bagi merintis penggunaan AI, serta pendekatan kepada penerimagunaan AI yang bertanggungjawab.
Melalui program MCMC - Microsoft AI TEACH, seramai 1,600 ahli komuniti berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya golongan rentan akan menerima latihan dan pensijilan dalam kemahiran AI.
Ia sekali gus membantu meningkatkan kebolehpasaran 1,000 orang peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
#Fahmi Fadzil #kecerdasan buatan #Microsoft #MCMC
;