Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan dilancar 1 Mei ini
Bernama
April 2, 2024 13:34 MYT
April 2, 2024 13:34 MYT
PUTRAJAYA: Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan akan dilancarkan pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 1 Mei ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan kerangka yang bakal menjadi garis panduan dasar kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan kerajaan secara amnya untuk melaksanakan program-program pembangunan modal insan Malaysia.
"KESUMA perkenal Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang julung kali. Ini akan lihat kepada kelompangan dan kesenjangan yang wujud dalam dokumen dasar masa kini.
"Sebagai contohnya tentang agenda masyarakat menua, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan penglibatan wanita sektor pekerjaan, kita lihat semua ini untuk rangka satu garis panduan dan strategi untuk memandu dasar dan program KESUMA," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Hari Pekerja di sini hari ini,
Pada sambutan Hari Pekerja 2024, Sim berkata KESUMA dengan penjenamaan dan iltizam baharu 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran, Keberhasilan Pekerja akan mempersembahkan siri aktiviti yang mempunyai berkelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Sambutan Hari Pekerja 2024 itu akan dihadiri lebih 3,000 pekerja dari kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta selain Perdana Menteri akan menyampaikan beberapa Anugerah Hari Pekerja pada perhimpunan bagi menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara.
"Tahun ini juga sambutan ini ada sedikit kelainan contohnya akan ada 18 program iringan yang akan bermula hari ini iaitu 'Pocket Talk', sesi bertukar pandangan untuk melihat isu berkaitan pekerja di Putrajaya, Selangor, Johor Bharu dan Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata KESUMA turut memperkenalkan dua kategori baharu anugerah pekerja iaitu Tokoh Pekerja Sektor Awam dan Anugerah Tokoh Media untuk individu.
"Hadiah tunai untuk anugerah Hari Pekerja akan diselaraskan, jadi tidak kira kategori pasukan mahupun individu, semua akan dapat RM10,000.
"Jumlah hadiah tunai untuk Anugerah Hari Pekerja dinaikkan daripada RM75,000 tahun lalu kepada RM120,000 tahun ini," katanya menambah tema sambutan Hari Pekerja tahun ini adalah "Pekerja KESUMA Bangsa".
-- BERNAMA