Kerang terdampar bukan petanda bencana, selamat dimakan - Penyelidik UMT

Bernama
Januari 26, 2025 14:45 MYT
Kerang yang terdampar masih dalam keadaan baik dan selamat dimakan, tetapi perlu dibersihkan dengan betul sebelum dimasak untuk mengelakkan pencemaran bakteria. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Fenomena kerang terdampar di pantai Terengganu yang tular baru-baru ini bukan suatu petanda bencana, malah ia selamat dimakan.

Ringkasan AI
  • Fenomena kerang terdampar di pantai Terengganu adalah kejadian semula jadi yang berlaku setiap kali musim monsun timur laut tiba dan bukan petanda bencana.
  • Kerang yang terdampar masih dalam keadaan baik dan selamat dimakan, tetapi perlu dibersihkan dengan betul sebelum dimasak untuk mengelakkan pencemaran bakteria.
  • Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihati orang ramai supaya memastikan kerang dimasak sepenuhnya sebelum dimakan dan mengelakkan pengambilan kerang mentah, terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah.

Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Roslizawati Ab Lah menjelaskan bahawa setiap kali musim monsun timur laut tiba, kejadian angin kencang, ombak besar, serta struktur pantai tertentu sering menjadi punca banyak kerang terdampar di pesisir pantai.
Beliau berkata meskipun fenomena itu kelihatan luar biasa, sebenarnya ia adalah kejadian semula jadi yang lazim berlaku dan tidak perlu dirisaukan.
"Proses kerang terdampar ini berkait rapat dengan struktur geografi pantai, kekuatan ombak, serta arah dan kelajuan tiupan angin semasa musim monsun timur laut.
"Tiupan angin yang kuat dan pergerakan ombak besar membawa kerang-kerang ini ke pesisir pantai. Biasanya, kerang ini masih dalam keadaan baik dan boleh dimakan dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Dr Roslizawati mengingatkan bahawa beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh penggemar makanan laut yang ingin mengambil peluang mengutip kerang tersebut.
"Kerang yang terkumpul di pantai berkemungkinan terdedah kepada bakteria atau pencemaran air. Oleh itu, penting untuk memastikan ia dibersihkan dengan betul sebelum dimasak," katanya menambah bahawa fenomena ini menunjukkan kepentingan ekosistem lautan dan pesisir pantai dalam mengekalkan keseimbangan alam.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat juga dilaporkan berkata hasil analisis makmal mengklasifikasikan kerang berkenaan sebagai Kelas B dan C, di bawah piawaian Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP), yang perlu dimasak sempurna sebelum dimakan.
Ruzaidi menasihati orang ramai supaya memastikan kerang yang dikutip, dimasak sepenuhnya sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria selain menasihatkan pengambilan kerang mentah harus dielakkan terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah.
Sebelum ini, tular di media sosial aktiviti orang ramai menggunakan pelbagai cara seperti pukat ikan dan baldi untuk mengumpul hasil laut itu yang melimpah setelah terdampar di atas pasir di Pantai Sura, Dungun.
-- BERNAMA
#universiti malaysia terengganu #kerang terdampar #monsun timur laut #pencemaran bakteria #Roslizawati Ab Lah
;