Kerang mati dan busuk, penternak dakwa kerugian RM700,000

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 22, 2021 16:36 MYT
Para penternak terpaksa menanggung kerugian malah terpaksa menunggu sekurang-kurangnya tempoh selama empat ke lima tahun untuk menternak semula kerang disebabkan pencemaran itu. - Astro AWANI
KUALA JURU: Penternak kerang di Kuala Juru, Pulau Pinang mendakwa kerugian hampir RM700,000 selepas kerang ternakan mereka tidak dapat dipasarkan selepas kerang menjadi busuk seterusnya mati akibat pencemaran selut.
Pencemaran selut dilaporkan berlaku dikawasan ternakan seluas 28.33 hektar selepas projek mendalamkan sungai di kawasan berkenaan sejak tahun lepas.
Menurut Pengerusi Persatuan nelayan Unit B, Kuala Juru, Bahari Edin, ternakan yang diusahakan sejak Mac tahun lepas itu sepatutnya dituai pada bulan ini namun malangnya semua kerang sudah mati.
Situasi itu didakwa paling buruk dalam sejarah penternakan kerang sejak mereka mengusahakan kerang 41 tahun lepas.
"Projek kerang ni dia punya ternakan dah habis mati, busuk dalam ni. Sepatutnya bulan ini kami cedok hasil (boleh dituai), Tapi disebabkan projek JPS mendalamkan sungai, selut itu mereka tak buang ikut perjanjian.
"Mereka (berjanji) akan buang di tepi sungai tapi sekarang ini habis selut busuk itu melarat ke tempat ternakan kerang. Kami ceduk (kerang) semua jadi macam ni.. tak boleh ambil langsung.
"Patutnya bulan Mac ini boleh kutip dah hasil dia. Kita tabur benih bulan Mac tahun 2020, sepatutnya bulan Mac 2021 boleh kutip hasil. Tapi habis (semua kerang) mati. Tak ada langsung," kata Bahari.
Bahari berkata persatuan itu mempunyai seramai 14 ahli yang kesemuanya mengharapkan pendapatan melalui hasil penternakan kerang.
Menurutnya, penternak sebelum itu menikmati hasil lumayan apabila mengutip hampir 1,000 kilogram (kg) kerang sehari dan turut memasarkannya ke pasaran luar negara seperti Thailand serta Vietnam.
Bagaimanapun, mereka kini terpaksa menanggung kerugian malah terpaksa menunggu sekurang-kurangnya tempoh selama empat hingga lima tahun untuk menternak semula kerang disebabkan pencemaran itu.
Bahari berkata, pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang berhubung perkara itu namun sehingga ke hari ini tiada sebarang jawapan diterima.
"Saya harap. Pihak JPS dapat bertimbang rasa sikitlah supaya dapat bantu kami semula. Selut dah busuk dan masam, dia korek dah (sedalam) 8 kaki. (Pencemaran) merebak dan selut busuk terus. Sekurang-kurangnya empat ke lima tahun untuk pulih," luahnya.
Turut melahirkan kekecewaan sama, Abbas Noor, 61 tahun, berkata dia terpaksa menanggung kerugian malah terpaksa kembali semua ke laut mencari hasil laut selepas projek ternakan kerang itu rosak dan mati.
"Kena turun ke laut dan memukat. Tidak harap hasil kerang ni. Rasa kecewa juga sedih sebab kerang mati. Sebelum ini, OK lagi sebab projek berjalan dah. (Sekarang) kena ke laut jugalah," keluhnya.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di tapak ternakan mendapati hasil kerang yang diambil penternak sudah berbau busuk dan mati.
#kerang #ternakan #pencemaran #kuala juru #pulau pinang #pencemaran selut
;