Kerana wang tidak diberi, wanita dipukul sehingga lumpuh oleh adik lelaki

Khairuddin Rushdi Ayuphan
Februari 2, 2021 15:51 MYT
Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dan suspek juga difahamkan sudah sekian lama berselisih faham dan sering bertengkar sebelum ini, namun tidak melibatkan kecederaan fizikal. - Gambar BERNAMA
SIBU: Seorang lelaki tergamak memukul kakak kandungnya sehingga lumpuh dengan menggunakan batang penyapu kerana berang tidak diberikan wang yang diminta.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 3 petang pada 22 Januari lalu di kediaman mereka di Jalan Sungai Antu, mangsa yang berusia 49 tahun terkehel tulang belakang menyebabkan saraf tunjangnya tertekan sehingga wanita itu lumpuh dari paras dada ke kaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, semasa kejadian, suspek berusia 44 tahun telah meminta wang, namun mangsa enggan memberinya.
“Susulan itu, mangsa dikatakan berang dan mengambil batang penyapu lalu memukul suspek.
"Dalam masa yang sama, suspek bertindak balas dengan merampas batang kayu penyapu daripada pegangan mangsa dan terus memukul mangsa di bahagian kepala, badan serta belakang beberapa kali sehingga menyebabkan mangsa jatuh terlentang di atas lantai ruang tamu di tingkat atas rumah.
“Semasa badan mangsa masih dalam keadaan terlentang di atas lantai, suspek terus menerus memukul badan mangsa beberapa kali sehingga ibunya menjerit agar berhenti memukul mangsa..” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Stanley berkata, mangsa dan suspek juga difahamkan sudah sekian lama berselisih faham dan sering bertengkar sebelum ini, namun tidak melibatkan kecederaan fizikal.
Sehubungan itu, beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sibu dan akan menjalani pembedahan tulang belakang, esok, namun dimaklumkan peratusan untuk sembuh adalah tipis.
"Pada hari kejadian, keluarga dikatakan enggan melibatkan pihak polis namun setelah didesak mangsa barulah laporan polis dibuat,” ujarnya lagi.
Susulan itu, Stanley berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 2.10 petang semalam dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Kes berkenaan juga akan dirujuk kepada Pegawai Perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim ke atas mangsa.
#kakak lumpuh #dipukul oleh adik lelaki #batang penyapu #pergaduhan #Sungai Antu #Sibu
;