Kerana takut, remaja bonceng mayat teman wanita pulang ke rumah, tinggalkan di garaj
Noraniza Kamsani
April 12, 2020 19:05 MYT
April 12, 2020 19:05 MYT
Seorang remaja lelaki sanggup menghantar teman wanitanya yang sudah meninggal dunia ke rumahnya di FELDA Keratong 5 di Muadzam Shah, sejauh 15 kilometer kerana terlalu takut selepas terbabit dalam kemalangan dengan seekor kerbau, awal pagi tadi.
Suspek berusia 17 tahun itu dikatakan membawa mayat mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala itu menggunakan motosikal selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan kilang sawit FELDA Keratong 3 kira-kira jam 3.30 pagi.
Bagaimanapun mayat mangsa berusia 17 tahun itu ditemui oleh datuknya kira-kira jam 10 pagi hari ini di garaj berkenaan dengan keadaan dibungkus dengan kain sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, hasil siasatan mendapati suspek bersama mangsa dikatakan keluar berjalan-jalan menaiki motosikal berwarna biru.
"Bagaimanapun sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa bertembung dengan seekor kerbau yang baring di tengah jalan.
"Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan peha dan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek bertindak membawa mayat mangsa dengan menaiki motosikal yang sama menuju rumah remaja perempuan itu di FELDA Keratong 5 sebelum meninggalkan mayat itu di bawah garaj.
"Suspek tidak memaklumkan kepada keluarga mangsa berkaitan kejadian berkenaan kerana terlalu takut sebelum terus beredar selepas kejadian.
"Polis sudah menahan remaja lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut dan kita turut merampas motosikal Yamaha 135 LC berkenaan.
"Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat," katanya lagi.
#bawa mayat teman wanita
#Felda
#Felda Keratong
#Hospital
#keluarga
#kemalangan
#mangsa
#mayat
#meninggal dunia
#remaja
#siasatan
#suspek
#wanita