Kerana 'sayang', motosikal diangkut ke dalam lif
Rahimah Abdullah
September 2, 2019 14:41 MYT
September 2, 2019 14:41 MYT
Isu kerosakan kemudahan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR), bukan lagi perkara baharu, sebaliknya, sudah sering kedengaran keluhan mengenainya.
Selain tanggungjawab badan berwajib, sikap sesetengah penduduk yang tidak bertanggungjawab juga dikatakan menyebabkan isu berkenaan gagal ditangani dengan berkesan.
PPR Sri Pantai di ibu negara misalnya merupakan antara perumahan awam yang tidak terkecuali dengan isu kerosakan lif.
Walaupun baru setahun beroperasi, lif ini sudah mula rosak.
Kenapa isu ini masih terjadi? Siapa yang mahu memikul tanggungjawab menjaga kemudahan untuk penduduk di situ?
Astro AWANI melakukan tinjauan dan kami bertanyakan sendiri kepada Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai, Tusiah Sinor.
Menurut Tusiah, masalah lif rosak sangat sinonim dengan penduduk PPR termasuk di Sri Pantai dan beliau antara yang sering menjadi mangsa keadaan.
Bukan sekadar terperangkap dalam lif akibat jentera pembawa penduduk itu tidak berfungsi, bahkan lebih malang lagi beliau pernah melalui senario yang lebih mendebarkan apabila 'melambung' dari tingkat dua ke tingkat empat,
"Dua minggu lepas, saya pernah terperangkap dalam lif. Pada mulanya, dari tingkat dua ia terus ke tingkat empat, terus melambung menyebabkan satu kejutan dan saya terus trauma. Ini sangat bahaya," katanya berkongsi pengalaman cemas kepada Astro AWANI.
Berdasarkan pemerhatian krew Astro AWANI, antara punca yang menyumbang pada kerosakan lif di kawasan penempatan seperti PPR ialah ialah sikap segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab.
Kegiatan vandalisme misalnya antara penyebab utama lif tidak berfungsi. Itu belum lagi mengambil kira tindakan melampau membawa naik motosikal dalam lif penumpang!
Apakah masyarakat tidak sedar atau memahami sejelas-jelasnya fungsi lif?
"Ada yang bawa motosikal masuk lif dan naik atas. Apabila kita tegur dia marah kita balik. Dia tak kisah dan dia tidak hormat orang. Malah, dalam rumah pun ada yang letak motosikal. Kadang-kadang saya lapor juga ke pejabat kecil (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sebab berat muatan itu lebih daripada manusia," katanya penuh bingung.
Apa yang dikatakan Tusiah ada kebenarannya, apabila kami secara kebetulan terserempak dengan seorang penduduk yang membawa keluar motosikal yang diparkir di rumah mereka di tingkat atas.
Ada yang cuba menegur, namun, lelaki itu tetap berkeras dan merasakan tindakan membawa masuk motosikal ke dalam lif adalah bagi mengelakkan kenderaanya itu dicuri.
"Kerana sayang sangat dengan motosikal, ada yang sanggup bawak masuk motosikal masuk ke dalam lif. Saya ada tegur tetapi saya pula dimarahi," kata seorang lagi penduduk yang tidak mahu dikenali.
Walau apa pun alasan yang diberikan, kemudahan lif yang disediakan sepatutnya dimanfaatkan dengan menjaga sebaiknya.
Malah, tinjauan turut mendapati, rakaman litar tertutup (CCTV) sudah dipasang, namun, suspek yang melakukan kesalahan tidak berjaya dikesan kerana tiada tindakan susulan pihak berwajib.
Justeru, kepada pihak berwajib, khususnya, DBKL, penduduk mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan kerosakan yang bukan sahaja merosakkan harta awam, malah membahayakan nyawa pengguna.